Khamis, 10 November 2011

Persiapan Peperiksaan


PESAN UATAZ

Wahai anak-anak pelajar  yang dikasihi! Marilah sama-sama kita lakukan sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan:

1. Mengerjakan sembahyang hajat dua rakaat sebelum mengulangkaji agar Allah memberikan pertolonganNya kepada kita.

2. Membaca al-Quran sebelum memulakan ulangkaji, kerana ia akan menjauhkan syaitan daripada kita dan wajah kita akan dipenuhi dengan cahaya al-Quran.

3. Mulakan dengan berdoa.

4. Buatlah perancangan terlebih dahulu, seperti menentukan apakah subjek-subjek yang akan diulangkaji, tajuk-tajuk dan masa bagi setiap subjek dengan membuat jadual yang lengkap.

5. Mulakan dengan subjek-subjek yang mudah terlebih dahulu, kemudian barulah berpindah kepada subjek-subjek yang sukar.

6. Jangan tangguhlah kerja hari ini kepada esok hari. Hendaklah sentiasa mengulangkaji subjek yang pelajari pada hari yang sama.

7. Peruntukkan waktu yang mencukupi untuk berehat. Tetapkan satu hari setiap minggu bagi berehat dan berhibur.

8. Pilihkan tempat yang tenang dan jauh daripada sebarang gangguan serta ambil beratlah tentang masalah pencahayaan yang mencukupi, begitu juga dengan masalah kesihatan.

9. Cuba sedaya upaya untuk mengosongkan fikiran daripada sebarang permasalahan atau kesibukan sebelum mengulangkaji pelajaran.

10. Ambil beratlah tentang cara duduk yang betul iaitu belakang badan hendaklah lurus.

11. Segeralah pergi menunaikan sembahyang sebaik sahaja mendengar azan, kerana Allah swt tidak akan memberkati pekerjaan yang melalaikan daripada sembahyang.

12. Selangkan di antara satu subjek dengan subjek lain yang kita ulangkaji dengan satu kadar masa yang mencukupi untuk berehat.

Bagaimana Bersedia Menghadapi Peperiksaan

Dr ‘Ata Barakat berkata:
Agar bersedia untuk menghadapi peperiksaan, kita perlu melakukan dua perkara yang penting:

Pertama: Penguasaan yang baik
Ini berlaku melalui empat perkara berikut:

1.Terus mengulangkaji subjek yang dipelajari sepanjang tahun sebaik sahaja selepas mempelajarinya. Janganlah tangguhkan sedikitpun meskipun sedikit.

2. Ulangkaji pelajaran terdahulu sebelum memulakan pelajaran baru.

3. Melakukan ulangkaji mingguan dengan membaca semula secara pantas pelajaran-pelajaran yang sudah diulangkaji pada minggu tersebut.

4. Membuat ulangkaji pada masa cuti dan juga secara bulanan.

Kedua: Ulangkaji yang intensif sebelum peperiksaan
Ia juga boleh dilakukan melalui empat langkah berikut:

1. Menyusun segala maklumat di dalam fikiran kita dengan susunan yang baik dan sistematik.

2. Memilih waktu yang sesuai untuk mengulangkaji, iaitu setiap subjek mempunyai waktu yang khusus. Jika merasa jemu, boleh mula menyelesaikan soalan-soalan kira-kira (matematik).

3. Membuat jadual waktu yang baik dan tersusun agar setiap subjek mempunyai jangkamasa waktu yang sesuai dan tidak mengganggu waktu yang diperuntukkan untuk subjek yang lain.

4. Menjawab banyak soalan dan menyelesaikan banyak permasalahan terutamanya soalan-soalan yang sukar.

Doa untuk Mengulangkaji Pelajaran

- Doa memulakan ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”

- Doa selepas mengulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”

Doa Pada Hari Peperiksaan

Dicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:

1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

2. Ketika menerima kertas soalan:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”

3. Ketika sukar menjawab:

ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”

4. Atau:

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.

Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

5. Jika anda terlupa jawapan:

اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan