Khamis, 13 Januari 2011

Hormati Orang Tua


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang tidak mengasihi orang muda dan tidak mengenali hak orang tua maka bukan dari kalangan kami.”
~ Riwayat Abu Daud ~
Huraian
  1. Orang beriman adalah mereka yang hidupnya saling hormat menghormati dan kasih mengasihi antara satu sama lain tanpa mengira usia, tua ataupun muda.
  2. Orang yang gersang daripada sifat kasih sayang biasanya bersikap ganas dan kasar hingga akhirnya hidupnya menjadi terasing dan terpinggir daripada masyarakat.
  3. Kekejaman berupa penderaan dan kekerasan terhadap golongan yang lemah sama ada terhadap kanak-kanak dan orang tua merupakan suatu perbuatan yang amat dibenci oleh agama kerana ia mempamerkan sifat zalim dan tidak berperikemanusiaan yang tidak sepatutnya ada pada diri seorang manusia yang dianugerahkan Allah dengan akal fikiran dan perasaan.
Hadith nabi saw yang bermaksud:
“Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di Neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih)
Abu Al Walid Ibnu Rusy telah mengeluarkan satu pendapat yang terbaik yang mana beliau mengkategorikannya kepada empat hukum :


1. Haram iaitu jika bangun berdiri berlaku ke atas seorang yang ingin orang lain berdiri untuknya, untuk bertakabbur atau merasa diri lebih besar daripada mereka yang berdiri untuknya.

2. Makruh iaitu jika ia berlaku ke atas seorang bukan untuk bertakabbur dan tidak berasa diri lebih besar daripada orang-orang yang berdiri, tetapi ditakutkan dirinya terjebak dengan sesuatu yang dilarang dengan sebab itu, dan kerana ia ada unsur penyerupaan dengan orang-orang yang zalim.

3. Harus iaitu sekiranya ia berlaku di atas dasar kebaikan dan memuliakan seorang yang bukan menghendaki perkara itu dilakukan kepadanya dan dapat mengelakkan dirinya daripada penyerupaan dengan orang-orang yang zalim.

4. Sunat iaitu bangun berdiri bagi seorang yang tiba dari safar (perjalanan yang jauh) sebagai melahirkan kegembiraan di atas kedatangannya supaya dia dapat mengucapkan salam keatasnya, atau kepada seorang yang baru mendapat nikmat supaya dia dapat mengucapkan tahniah di atas penerimaan nikmat itu. Atau kepada seorang yang mendapat musibah supada dia dapat mengucapkan takziah terhadap musibah itu.

(Rujukan : Fath al Bari: 11/45-49, Al Fath al Rabbani: 6/83, 22/256, 7/325, Syarah Sahih Muslim: 12/93)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan