Ahad, 7 Ogos 2011

IHYA RAMADAN SEBAGAI SATU RENUNGAN.


1. Pengenalan.

Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia dan diberkati oleh Allah S.W.T. Ia merupakan penghulu segala bulan. Ia juga dikenali sebagai bulan ibadah, bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., bulan kebajikan dan ihsan, bulan keampunan dan keredaanNya.

Kedatangan bulan ini amat ditunggu oleh umat Islam seluruhnya. Kita perlu menyambut kedatangan bulan ini dengan penuh keinsafan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Oleh itu kita perlu mengetahui perkara-perkara yang berhubung kait dengan keutamaan dan kelebihan bulan Ramadan supaya dapat memberi keseronokkan dan keinsafan dalam melakukan ibadah dalam bulan yang mulia ini. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya masa bulan Ramadan berpanjangan selama setahun.”

2. Keutamaan dan Kelebihan Bulan Ramadan.

            Keutamaan dan kelebihan bulan Ramadan adalah merupakan anugerah Allah S.W.T. ke atas hambaNya yang mukmin supaya mereka dapat menambahkan lagi ketaqwaan kepadaNya. Diantara kelebihan itu ialah:

  1. Dalam bulan Ramadan inilah Allah S.W.T. telah memfardhukan ibadah puasa ke atas umat Islam bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepadaNya.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 83 bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan keatas umat yang sebelum kamu semo0ga kamu bertakwa.”

Ibadah puasa ini adalah merupakan salah satu rukun Islam yang lima.

Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud:

‘Islam itu didirikan atas lima perkara iaitu menyaksikan bahawasanya tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikian solat, mengeluarkan zakat, berpuasa bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang mampu.” (riwayat Imam Bukahari dan Muslim.)

  1. Dalam bulan Ramadan Allah S.W.T. telah menurunkan kitab suci  al-Quran untuk dijadikan petunjuk dan panduan hidup manusia serta   dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk supaya mereka hidup di dunia ini dengan aman dan sempurna.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi sekelian manusia dan manjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk serta membezakan antara yang benar dengan yang salah.”

  1. Terdapatnya malam Lailatul Qadar iaitu suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul Qadar adalah sebaik-baik malam dan mengatasi seribu bulan.

Firman Allah dalam Surah al-Qadar ayat 3 bermaksud:

“Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan”.

Ertinya menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan megerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan.

  1. Keberkatan dan rahmat Allah S.W.T. dalam bulan Ramadhan melebihi daripada bulan-bulan yang lain. Pintu-pintu syurga terbuka dan segala pintu neraka ditutup. Ini telah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Telah datang kepada kamu semua suatu bulan yang diberkati, dalam bulan ini Allah S.W.T. mewajibkan kepada kamu semua untuk melakukan ibadah puasa. Pada bulan itu dibuka semua pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan semua syaitan dibelenggu.”(riwayat Imam Ahmad, Nasai dan Baihaqi)

  1. Bergembiralah orang yang melakukan kebaikan dan amalan soleh serta meninggalkan segala keburukan dan kejahatan kerana sepanjang bulan Ramadan mereka mendapat seruan daripada para Malaikat. Ini telah disebutkan dalam hadis yang bermaksud

“Malaikat menyeru dalam bulan Ramadan, wahai orang-orang yang mencari kebaikan, bergembiralah dan wahai orang-orang yang mencari keburukan hentikanlah sehingga tamat bulan Ramadan.”(riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai).

  1. Mendapat keampunan Alah S.W.T. akan dosa-dosa orang yang berpuasa dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keinsafan. Sabda Rasulullah S.A.W.

“Sesiapa yang berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah S.W.T. maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”  (Riwayat Imam Ahmad).

  1. Orang yang melakukan ibadah di dalam bulan ini mendapat ganjaran pahala yang berganda melebihi ibadah di dalam bulan yang lain. Ini diakui sendiri oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud

“Setiap amalan baik di balas dengan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda, ibadah puasa adalah untukku dan aku yang membalasnya.”  (riwayatkan al-Tirmizi).

3. Kejadian penting dalam bulan Ramadan.

Beberapa kejadian sejarah telah berlaku dalam bulan Ramadan. Kejadian-kejadian yang dimaksudkan menunjukkan bahawa berlakunya sesuatu perkara mengikut ketentuanNya dan syiar puasa itu adalah kekuatan berjihad, bekerja keras, tidak menjadi lemah dan malas, sanggup memikul tugas dan terus rajin berusaha.

            Beberapa kejadian besar tersebut yang masyhur antaranya ialah:

1.       Perang Badar.

Ia merupakan suatu peperangan yang membezakan antara hak dan batil dan berakhir dengan kemenangan di pihak Islam. Ia berlaku pada hari jumaat 17 ramadan tahun ke 2H.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 123 bermaksud:

“Dan sesungguhnya Allah S.W.T. telah menolong kamu mecapai kemenangan dalam peperangan Badar sedangkan kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekerungan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu bersyukur.”

2.  Pembukaan Kota Mekah.

Kemenangan pembukaan Kota Mekah  disifatkan oleh Allah S.W.T. sebagai kemenangan yang paling besar.

Firman Allah dalam Surah al-Fath ayat 1  bermaksud:

“Sesungguhnya kami telah membuka bagi perjuanganmu satu jalan kemenangan yang nyata.” 

Ia berlaku pada 10 ramadan 8H dan peristiwa itu menghapuskan kumpulan dan memecahkan patung-patung berhala disekeliling ka’bah.

2.       Berlaku Peperangan Tabuk dalam bulan Ramadan pada 9H.

3.       Berlakunya penyebaran Islam di negeri Yaman dalam bulan Ramadan pada 10H.

4.       Kedatangan rombongan Thaqif dan Taif menemui Rasulullah S.A.W. untuk memeluk agama Islam pada bulan Ramadan tahun   9H.

5.       Kemenangan Andalusia berlaku pada 28 ramadan 92H. Kemenangan ini dipimpin oleh Thoriq b Ziyad setelah berjaya mengalahkan Roderick.

4. Kesimpulan.

Kelebihan dan keutamaan bulan Ramadan direbut dan diambil manafaat   sepenuhnya denagn melakukan amalan-amalan yang baik. Beruntunglah mereka yang mengambil peluang anugerah Allah S.W.T. dalam bulan Ramadan.

Suntingan : yusof salleh
                   http//ybs76.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan