Al-Quran mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadhan 13 tahun sebelum hijrah bersamaan 6 Ogos 610 Mesihi. Peristiwa besar ini berlaku semasa Baginda SAW berusia 40 tahun 6 bulan 8 hari ketika berkhalwat di Gua Hira’.ayat pertama yang diturunkan ialah ayat 1 hingga 5 dalam surah Al-Alaq yang bermaksud:
“bacalah ( wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekelian makhluk). Ia menciptakan manusia dari seketul darah beku, bacalah dan tuhan mu Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Ini ayat pertama diturunkan keatas nabi Muhammad SAW. Penurunan ayat yang pertama ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh imam Baihaqi dan Al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak , hadis daripada Aisyah r.a katanya yang bermaksud:
“Permulaan ayat yang diturunkan ialah surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5.”
Setelah wahyu pertama itu selang bebeberapa lama baginda SAW tidak menerima wahyu lagi, padahal Beliau SAW sudah amat rindu kepadanya. Maka dari situ setiap hari beliau SAW berangkat ketempat-tempat sunyi. Pada suatu hari ketika Bainda SAW berjalan-jalan tiba-tiba terdengar suara dari langit. Belia SAW melihat keatas, ternyata yang nampak adalah Jibril a.s, duduk antara langit dan bumi. Selepas melihat peristiwa tersebut, Belia SAW segera pulang ke rumah dan minta supaya diselimutkan. Kemudian Allah menurunkan wahyu yang kedua sebagaimana Firman-Nya bermaksud:
“Wahai orang yang berselimut! berdirilah dan berikanlah peringatan (kepada manusia), Agongkanlah tuhanmu, sucikanlah pakaianmu, jauhilah pekerjaan yang buruk dan janganlah memberi (sesuatu dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak serta bersabarlah kepada tuhanmu.”
(Surah Al-Muddasir ayat 1—7)
Sesudah wahyu yang kedua ini, berlangsunglah penurunannya keatas baginda SAW dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun.
Wahyu terakhir yang diterima oleh Rasulullah ialah ayat 3 surah Al-Maidah yang bermaksud:
Pada hari ini Aku telah menyempurnakan agama untuk kamu dan Aku mencukupkan nikmatKU pada kamu dan Aku rela bahawa Islam itu sebagai agama kamu semua.
Hikmat penurunan Al-Quran.
Allah menurunkan Al-Quran sebagai mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAWyang lengkap dengan sastera, kerana masyarakat Arab ketika itu pakar dalam bidang puisi, khutbah, prosa,dan kesusasteraan. Penurunan ini mengkagumkan dan mempesonakan mereka dengan keindahan gaya bahasa dan susunan lafaz Al-Quran.
Ini telah melemahkan mereka dan semua ahli bijak pandai dalam lapangan sastera dikalangan mereka. Contohnya Abu Al-Walid yang merupakan salah seorang sasterawan dikalangan mereka tatkala mendengar ayat-ayat Al-Quran, beliau mengatakan, “aku tidak pernah mendengar kata-kata yang seindah ini sebelum ini, ia bukan syair, bukan ucapan ahli sihir, bukan ucapan ahli sastera dan bukan ucapan manusia”. Ini di buktikan lagi oleh allah dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan apabila kamu ada menaruh syak tentang apa yang kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad SAW), maka cuba datangkan satu surah yang seumpamanya, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.”
(Surah al-Baqarah ayat 23)
Tujuan Al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad adalah sebagai panduan manusia dalam menjalani kehidupan dan mencari kebenaran. Ketika al-quran diturunkan, masyarakat Arab hidup dengan bertuhankan patung-patung seperti Uzza dan Latta. Setelah nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul dan Al-Quran diturunkan maka ianya telah mengubah agama dan kepercayaan masyarakat Arab yang diwarisi dari datuk-nenek mereka sejak sekian lama kepada agama yang benar dan diredhai oleh Allah. ini telah dijelaskan oleh Allah dengan firman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang sesat.”
(Surah al-Baqarah ayat 198)
Al-quran yang diturunkan ini telah banyak mengubah akhlak dan tingkah laku manusia khususnya dizaman ianya diturunkan kerana pada masa ini masyarakat Arab pada masa itu terkenal sebagai masyarakat jahiliyah. Anak-anak perempuan dibunuh, penderaan keatas wanita, pemabuk dan perang saudara. Dalam suasana beginilah, Allah melantik Nabi Muhammad sebagai Rasul terakhir dan menurunkan Al-Quran untuk mendidik dan membentuk akhlak manusia yang telah rosak . Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutuskan (oleh Allah) untuk menyempurnakan akhlak (manusia).”
Allah mengutuskan Rasul terakhir dengan menurunkan Al-Quran untuk memberi ajaran yang paling lengkap terutmanya mengenai perkara-perkara ghaib. Walau bagaimana hebat kekuatan akal manusia, namun mereka hanya tahu tentang alam yang nyata sahaja. Manusia tidak tahu tentang Allah yang sebenarnya dan apa yang ada disebalik alam nyata ini jika tanpa pengajaran dan tunjuk-ajar yang bersumberkan al-Quran.
Kesimpulan.
Penurunan Al-Quran ini telah membawa banyak kesan dalam kehidupan manusia seperti akhlak, perkembangan ilmu dan kepercayaan dalam beragama. Al-Quran yang diturunkan ini, terpelihara dari sebarang penyelewengan dan penambahan sehingga hari Qiamat. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang menjaga dan memeliharanya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan